Sunday 3 April 2011

CALON DUN N.08 SATOK

                                                                 
Muqaddimah
Ahmad Nazib bin Hj Johari telah dilahirkan pada 23hb Mei 1976 di Kuching, Sarawak. Ayahanda beliau, Tuan Hj Johari bin Hj Sulaiman (Hj Bejek) adalah bekas Ketua Kaum Kampung Temedak selama lebih lima (5) tahun. Manakala ibu beliau, Hajjah Fatemu bt Hj Suhaili adalah seorang surirumah. Beliau anak keenam daripada lapan orang adik-beradik.

Keluarga dan Rumahtangga
Beliau telah berkahwin dengan Dayang Hanifah bt Hj Abg Mohd Supian yang berkelulusan Sarjana Muda Ekonomi dari Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Hasil perkahwinan mereka telah dikurniakan dengan empat (4) orang cahayamata iaitu Ahmad Nazreen Shah, Ahmad Nur Shahreeman, Ahmad Nur Syarifuddeen dan Nur Aleeya Batrisyia.

Pendidikan
Beliau mendapat pendidikan awal di SRB St. Joseph, Kuching, Sarawak dan meneruskan persekolahan menengah di SMK Agama Sheikh Hj Othman Abdul Wahab, Matang, Kuching. Selepas menamatkan Sijil Pelajaran Malaysia pada tahun 1993, beliau telah melanjutkan pelajaran di peringkat matrikulasi di Pra-Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Cawangan Nilam Puri, Kelantan Darul Naim selama tiga (3) tahun dan kemudian meneruskan pengajian di peringkat Ijazah di Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Pada tahun 2000, beliau telah berjaya memperolehi Ijazah Sarjana Muda Syariah (Kepujian), pengkhususan dalam jurusan Undang-Undang dan Syariah. Selepas itu, beliau telah mengambil Diploma Lepasan Ijazah iaitu Diploma Syariah Law Practise (DSLP) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak, Selangor. Beliau telah berjaya  memperolehi Certificate of Mediation (Mediasi) dari Australia.

Kegiatan di Sekolah,  Universiti dan Kemasyarakatan
Semasa di sekolah, beliau melibatkan diri dalam beberapa persatuan termasuklah Persatuan Bulan Sabit Merah, Persatuan Bahasa Melayu dan Persatuan Seni Silat Betawi dan Helang Putih. Beliau telah terpilih mengikuti kelas khas Al-Quran dan Qiraat dan turut terlibat dengan kepimpinan Islam sebagai Timbalan Pengerusi Badan Dakwah dan Rohani (BADAR).
Pada peringkat Universiti, beliau pernah menjadi pengerusi Dakwah di bawah Persatuan Mahasiswa Islam Sarawak (PERMIS) dan dilantik sebagai Pengarah bagi Program Operasi Khidmat Masyarakat (OPKIM) di Pulau Bruit, Sarawak di bawah Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM). Selain itu, beliau turut terlibat dalam bidang latihan, fasilitator, kepimpinan, usrah pelajar, latihan kepimpinan dan motivasi anjuran universiti. Beliau turut aktif dalam aktiviti nasyid iaitu pernah mengetuai (vokalis) nasyid bagi mewakili Kolej Kediaman Pertama Universiti Malaya.
Penglibatan dalam aktiviti masyarakat setempat, beliau pernah dijemput sebagai Imam Terawih pada bulan Ramadhan dan khatib menyampai khutbah Hari Raya Aidilfitri di Surau Darul Qarar, Kampung Temedak, Jalan Patinggan.

Kerjaya
Selepas menamatkan pengajian di Universiti Malaya, beliau pernah menjadi guru sandaran di SK Combined dan SK Batu Kitang, Kuching. Pada tahun 2001, beliau telah mula menceburi bidang guaman syariah. Pada peringkat awal kerjaya, beliau telah beramal di Firma Guaman Tetuan Zaidi Zain & Associates di Bangsar Kuala Lumpur dan kemudian di A.B Sidek & Co di Kelana Jaya Selangor.
Pada tahun 2003, berkat usaha dan semangat tinggi, beliau telah menubuhkan firma guaman sendiri iaitu AHMAD NAZIB & ASSOCIATES  yang beroperasi di Jalan Kulas, Kuching dan Kompleks PKNS Shah Alam, Selangor. Beliau beramal di beberapa buah negeri iaitu di Sarawak, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan, Perak, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang. Khidmat guaman yang tersedia merangkumi Perkhidmatan Guaman Syarie, Perunding Keluarga, Penulis Wasiat, Hibah, Faraid dan Perantara Bertauliah.

Penglibatan dalam Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan Politik
Pada tahun 2002, beliau terlibat penuh bersama peguam-peguam veteran dalam penubuhan Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) di Kuala Lumpur. Beliau telah di lantik sebagai Timbalan Setiausaha Agong PGSM dari tahun 2006 sehingga 2008. Sepanjang penglibatan beliau dalam PGSM, beliau pernah dilantik menjadi pengerusi Biro Kebajikan Peguam, Biro Pendidikan dan Biro Perhubungan Luar dan Serantau. Selain itu, beliau turut terlibat dengan Persatuan Peguam Muslim Malaysia.
Pada tahun 2008, beliau telah dilantik sebagai Exco Angkatan Muda Keadilan Malaysia dan Ketua Angkatan Muda Keadilan Sarawak serta Exco Majlis Pimpinan Negeri Sarawak.
Pada tahun 2010, beliau telah dilantik sebagai Naib Ketua Cabang Petra Jaya sementara di peringkat ranting, beliau dilantik sebagai Ketua Ranting DUN Satok, Cabang Petra Jaya.

No comments:

Post a Comment